apa itu Hedonisme

Posted by Bee Family On 10:58 PM 1 comments

Budaya Hedonisme

Hedonisme menurut pengertian kamus dewan ialah pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup..Manakala Drs Sudarsono dalam bukunya Etika Islam Tentang Kenakalan Remaja terbitan Bina Aksara pula mengatakan Hedonisme sebagai doktrin yang memandang kesenangan sebagai kebaikan yang paling utama dan kewajipan seseorang untuk mencari kesenangan bagi tujuan kehidupan. Ia beranggapan bahawa sesuatu perbuatan yang baik adalah mendatangkan kelazatan atau nikmat.. Dalam Erti kata lain mereka beranggapan bahawa kesenangan dan kenikmatan adalah merupakan tujuan akhir hidup

Menyoroti sejarah, fahaman Hedonisme didokong Aristipus (433-355 B.C), salah seorang murid Socrates. Hal ini merujuk kepada pertanyaan Socrates kepada beliau tentang tujuan terakhir bagi kehidupan manusia atau apa yang terbaik untuk manusia. Aristipus kemudiannya mengatakan yang terbaik untuk manusia adalah kesenangan, hal ini terbukti kerana sudah sejak masa kecil manusia berasa tertarik akan kesenangan dan apabila telah menikmatinya, ia tidak mencari sesuatu yang lain dan menajauhkan diri dari ketidaksenangan...

Idea ini kemudiannya dikembangkan oleh Epicurus (341-270 B.C) dengan mengatakan tujuan hidup untuk kesenangan dan kedamaian[.Dalam fahaman ini, Epicurus menekankan bahawa ‘kebaikan’ tidak mungkin akan difahami andainya kita menolak unsur kelazatan dalam hidup kita termasuk kelazatan indera rasa, cinta serta kelazatan lain yang dapat dilihat dan didengar oleh penglihatan dan pendengaran. Bahkan asas kepada segala kabaikan adalah kelazatan yang dirasai perut sehinggakan ilmu, kebijaksanaan, budaya, dan tamadun umat manusia mesti merujuk kepadanya. Manakala kelazatan minda pula dikatakan sinonim dengan proses berfikir tentang kelazatan-kelazatan yang dicapai oleh unsur fizikal tersebut.

Dalam pemikiran terkini berkaitan Hedonisme, G.E Moore (1873) dilihat sebagai tokoh kontemporari hedonisme. Beliau dilihat masih berpegang kepada konsep ‘baik’ yang bertitik tolak kepada keseronokan dan menegaskan tidak ada yang baik kecuali keseronokan dan keseronokan sahaja yang menjadikan kebaikan sebagai satu matlamat..

Sekiranya diteliti hedonisme merupakan salah satu cabang fahaman Sekularisme. Ajaran Sekularisme telah meletakkan lima prinsip utama sebagai neraca dalam alirannya..

  1. Prinsip Vetalisme menekankan apa-apa yang berbentuk kuat dan menguntungkan dari segi kebenaran akan dianggap baik.
  2. Prinsip Kreativiti meletakkan sesuatu yang boleh mencetuskan daya kreativiti dan menghasilkan ciptaan baru akan dianggap sabagai baik dan bermutu.
  3. Prinsip Relative pula menekankan tidak ada sesuatu konsep dan pemahaman terhadap sesuatu fakta atau teori yang bersifat mutlak dan kekal. Sebaliknya semuanya boleh berubah mengikut perubahan zaman dan perkembagan ilmu pengetahuan.
  4. Prinsip Hedonisme pula menggariskan apa-apa sahaja yang boleh memuaskan hawa nafsu manusia akan dianggap baik , manakala apa-apa sahaja yang boleh membawa penderitaan nafsu akan dianggap buruk
  5. Prinsip terakhir pula menganggap majoriti masyarakat sebagai pemutus. Aliran ini menganggap pilihan majoriti adalah baik.

Secara kesimpulannya, Hedonisme menggariskan keseronokan sebagai tunjang utama kehidupan. Keseronokan ini diputuskan sendiri oleh akal manusia. Hal ini sedikit sebanyak bertepatan dengan matlamat sekularisme yang mahu memastikan manusia bebas dari unsur ketuhanan. Selain itu, keseronokan yang diputuskan oleh individu boleh menyebabkan penentangan antara satu-sama lain. Sebagai contoh seorang individu menganggap membunuh adalah perkara yang menyeronokkan manakala seorang individu lain menganggap ia sesuatu perkara yang menakutkan. Jadi, secara jelas konsep pemikiran hedonisme tidak relevan digunakan dalam hal ini kerana boleh mewujudkan pertentangan pemikiran.

Akan tetapi, amat malang sekali remaja Malaysia sekarang banyak terdedah dengan pemikiran ini samada sedar atau tidak. Sekiranya tidak dibendung, pemikiran ini akan menghancurkan masyarakat Malaysia suatu hari nanti.

  1. Islam Dan Hedonisme

Islam sangat memandang berat pemikiran-pemikiran yang cuba menganggu umat Islam. Hal ini kerana sekiranya pemikiran-pemikiran ini tidak dikawal, ia mampu merosakkan aqidah umat Islam. Sedangkan Aqidah berfungsi sebagai tonggak seluruh perancangan hidup manusia khususnya yang menyentuh aspek perancangan ummah..

Lazimnya, perbincangan mengenai akidah akan turut melibatkan persoalan Iman.Konsep Keimanan adalah mengenai individu yang mempunyai akidah yang benar dan mempunyai tiga elemen penting merangkumi pegangan kuat berasaskan keyakinan, wujudnya unsure ketundukan yang tulus dalam sanubari manusia terhadap apa yang diimaninya dan yang terakhir adanya unsur cetusan atau ransangan dalaman dalam diri individu tersebut untuk menterjemahkan seluruh prinsip keimanannya di dalam diri individu tersebut untuk menterjemahkan seluruh prinsip keimanannya di alam kenyataan dengan berusaha untuk menyelaraskan seluruh aktiviti hidup hariannya berasaskan nilai-nilai keimanan tersebut. Ini kerana individu tersebut tidak boleh bersabar melihat segala aktiviti hidup dilangsungkan berasaskan bentuk dan kaedah yang bertentangan dengan asas-asas keimanan yang terpendam jauh dan kental dalam hati sanubarinya..

Merujuk kepada defenisi diatas, jelas sekali budaya hedonisme amat bertentangan dengan akidah umat Islam. Hal ini kerana budaya hedonisme mementingkan kebebasan fikiran sedangkan Aqidah Islam meletakkan al-Quran dan al-Sunnah sebagai paksi pemikiran.

Selain itu dalam pengertian ‘kebaikan’ terhadap individu, Pandangan Islam amat bertentangan dengan konsep ‘kebaikan’ dalam Hedonisme. Islam melihat konsep ‘kebaikan’ adalah melibatkan pembangunan ummah yang memberi fokus kepada aspek pembangunan berteraskan ketuhanan atau kerohanian berbanding dengan kemajuan yang berbentuk kebendaan agar manusia bukan sahaja mendapat ‘Kebaikan’ di dunia tertapi juga mendapat ‘kebaikan di akhirat’. Manakala ‘Kebaikan’ yang dibawa hedonisme adalah apa-apa yang berbentuk keseronokan..

  1. Pengenalan Majalah Mastika

Majalah Mastika merupakan salah satu majalah terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. Majalah ini diterbitkan bermula 1 Jun 66 tahun yang lepas.. Majalah ini kemudiannya diterbitkan secara bulanan. Sepanjang penerbitannya, Majalah Mastika telah dikemudi dan diperkemaskan oleh beberapa orang tokoh. Tokoh-tokoh tersebut merangkumi Abd Rahim Kajai sebagai pengarang pertama, kemudian diikuti oleh Tan Sri Abdul Samad Ismail, Munir Ghazali, A. Samad Said dan Zainol Fakir..

Melihat kepada sambutan masyarakat, sehingga tahun 2007 majalah ini telah memegang rekod jualan tertinggi selama sepuluh tahun berturut-turut..Hal ini mungkin kerana majalah ini memaparkan isu-isu yang dekat dengan masyarakat. Sebagai contoh negara pernah dikejutkan dengan bahaya Black Metal. Menyedari kepentingan isu ini, Mastika telah membahaskan secara panjang lebar dalam keluarannya pada bulan Jun 2006.

Apa yang ditumpukan dalam pendedahan Black Metal keluaran ini adalah respon dari semua pihak yang tahu tentang isu ini samada. Respon pertama yang dipaparkan adalah melalui sms pembaca. Mastika membentangkan sms dari pembaca yang berbentuk sokongan dan kritikan Respon kedua di bawah tajuk adalah berkenaan surat-surat yang dihantar pembaca berupa sokongan dan kritikan dari mereka yang pernah terlibat dengan gejala ini. Respon yang ketiga adalah berkenaan teks ucapan khutbah Jumaat dari sebuah masjid di Kuala Lumpur yang memberi penekanan terhadap keberhayaan Balck Metal kepada Umat Islam. .Selain itu, Mastika turut memaparkan pengalaman seorang lelaki yang terlibat secara langsung membanteras gejala ini. Lelaki ini menceritakan pengalamannya menyelamatkan aqidah seorang yang pernah terlibat dalam gejala ini. Isu ini diakhiri dengan pendedahan fakta-fakta mengenai keburukan Black Metal dengan memberi penumpuan kepada kewujudan gereja syaitan di Malaysia?. Dan pengembangan ajaran Black Metal di Malaysia..

Pendedahan ini kemudiannya berjaya membuka mata banyak pihak sehingga Ang Wang Seng selaku jawatankuasa persatuan saudar-saudara baru Islam menghasilkan sebuah buku Rahsia Black Metal yang diterbitkan pada September 2006. Karya ini telah membincangkan secara terperinci ajaran Black Metal..

  1. Isu Hedonisme yang diketengahkan Mastika Keluaran Jun-Ogos 2007

§ Mastika Jun 2007

Isu yang diketengahkan Mastika pada bulan Jun 2007 tidak banyak melibatkan perbincangan yang jelas budaya hedonisme dikalangan remaja. Akan tetapi beberapa isu yang diketengahkan mempunyai sedikit sebanyak pengaruh keseronokan yang melampau yang melanda masyarakat. Antara isu yang diketengahkan adalah Skim Cepat Kaya. Salah satu kisah yang dipaparkan mastika adalah pengalaman pengurus skim cepat kaya yang mengaku berjaya menipu ramai masyarakat. Disebabkan terlalu inginkan ‘keseronokan’ bersifat kebendaan, ramai dikalangan masyarakat terpengaruh sehingga membelakangkan agama. Pengurus itu juga mengakui bahawa dia juga sangat inginkan kekayaan dengan jalan mudah sehingga sanggup menjalankan perniagaan secara menipu. Isu kedua yang disiarkan mastika adalah kes pembunuhan seorang gadis berusia 16 tahun, Gadis ini dipercayai dirogol dan dibunuh oleh dua remaja berusia 16 dan 17 tahun .

Isu ketiga yang diketengahkan Mastika adalah budaya bertatu dikalangan remaja. Budaya bertatu pada fikiran remaja adalah salah satu bentuk ‘seni’. Didalam temubual Mastika dengan remaja yang bertatu, walaupun menyedari amalan bertatu adalah haram remaja tersebut secara jelas mengatakan punca dia melakukan perkara tersebut disebabkan mencari keseronokan. Hal ini secara tidak langsung mencerminkan pemikiran hedonisme sangat mempengaruhi remaja ini.

§ Mastika Julai 2007

Dalam edisi Julai 2007, mastika memaparkan isu seksualiti sebagai isu utama. Antara kes yang terlibat dalam isu ini adalah berkaitan pelacuran. Dalam kes pelacuran. Mastika memparkan kisah mengenai detik seorang yang terjebak dalam kancah pelacuran. Didapati wanita ini terjebak dalam kancah pelacuran disebabkan ingin seronoh dan hidup senang. Isu kedua adalah melibatkan ‘Bohsia’ yang tenggelam dalam dunia keseronokan sehingga sanggup menggadai badan. Mereka menganggap apa yang terbaik untuk mereka adalah dapat menikmati keseronokan tanpa sempadan.

Selain itu, Mastika juga turut memaparkan keseronokan remaja terhadap hiburan. Dalam keluaran ini, Mastika mengambil contoh kejadian yang berlaku di dalam konsert Gang Starz di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Dalam artikel ini, Mastika telah memfokuskan beberapa perkara dalam konsert tersebut. Perkara pertama yang menjadi sasaran mestika adalah personaliti penonton. Kebanyakan penonton yang datang mewarnakan rambut mereka dengan pelbagai fesyen dan warna, manakala sebahagian besar penonton wanita berpakaian seksi.. Fokus kedua yang menjadi pilihan mastika adalah sikap penonton semasa persembahan. Mastika mendapati hampir keseluruhan penonton bertempik dan menari semasa persembahan sedang berlangsung.

§ Mastika Ogos 2007

Mastika Edisi Ogos 2007 telah mencetuskan satu perbincangan baru mengenai gelaja penagihan dadah yang berlaku dalam masyarakat. Gejala ini bukan sahaja merosakkan diri penagih malah turut menambah beban Kerajaan membasmi jenayah pengedaran dadah. Dalam isu kali ini, Mastika memaparkan tiga artikel berkaitan penyalahgunaan dadah. Artikel-ertikel ini melibatkan penagihan Syabu, Gam[dan kesan penagihan terhadap tubuh badan. Berdasarkan artikel-artikel ini, dapat disimpulakan bahawa penagihan dadah banyak melibatkan remaja. Selain itu, faktor utama yang mempengaruhinya adalah ingin mencari keseronokan dan tekanan yang melampau.

Sebagai kesimpulannya isu-isu yang diketengahkan Mastika diantara Keluaran Jun-Ogos adalah

1. Sukakan Kebendaan dalam Skim Cepat Kaya

2. Pemerkosaan

3. Budaya Bertatu

4. Wanita dan Seks

5. Remaja dan Hiburan

6. Penagihan dadah

Categories:

1 Response for the "apa itu Hedonisme"

  1. adakah segala benda buruk ni langsung tiada kebaikan dalam hidup manusia?
    contohnya;hedonisme ni ? Hanya ingin berkongsi pendapat je...

Post a Comment

Followers